Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Tim Cook puji generasi baharu pencipta muda China

BEIJING, 26 MAC – Ketua Apple, Tim Cook hari ini memuji ‘generasi baharu pencipta’ semasa lawatannya ke hab teknologi di timur China, ketika gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu berusaha untuk kekal relevan dalam pasaran pengguna yang luas di negara tersebut.

Pengeluar iPhone itu kehilangan statusnya sebagai jenama telefon pintar paling laris di China tahun lalu, tetapi telah berusaha untuk mengukuhkan hubungannya dengan negara tersebut dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Teruja bertemu generasi baharu pencipta di Universiti Zhejiang hari ini,” kata Cook dalam satu hantaran di platform media sosial China, Weibo, yang turut menyertakan video beliau berinteraksi dengan pelajar.

Hantaran itu dibuat serentak dengan pengumuman Apple bahawa syarikat tersebut akan menyumbangkan AS$4.1 juta kepada universiti itu bagi menyediakan latihan teknikal dan perniagaan kepada pelajar dalam pembangunan aplikasi.

Terletak di Hangzhou, Universiti Zhejiang terkenal kerana melahirkan bakat teknologi elit, termasuk Liang Wenfeng, pengasas syarikat permulaan AI, DeepSeek.

Syarikat itu mengejutkan dunia tahun ini dengan model chatbot yang dilihat mampu menyaingi prestasi pesaing dari AS pada kos yang jauh lebih rendah.

Cook turut bertemu Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, di luar forum pembangunan utama di Beijing pada Isnin, dengan kementerian itu menyatakan bahawa mereka ‘bertukar pandangan mengenai pembangunan perniagaan Apple di China, hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS serta topik lain.’

Pada Februari lalu, gergasi e-dagang China, Alibaba, mengumumkan bahawa ia akan membekalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong operasi iPhone Apple di China. – AFP

Tim Cook semasa menghadiri majlis pembukaan Forum Pembangunan China di Diaoyutai State Guesthouse, Beijing pada 23 Mac. – AFP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda