Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – GHK Auto Assembly Sdn Bhd pada hari ini telah mengalu-alukan kedatangan rombongan pelajar dan tenaga pengajar dari Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Rombongan yang disertai oleh seramai 46 orang pelajar dan 12 orang tenaga pengajar sekolah itu merupakan sebahagian daripada lawatan pendidikan yang kali ini menyasarkan GHK Auto Assembly yang terletak di Serasa.
Lawatan pendidikan tersebut membantu pelajar mendapatkan pengalaman pembelajaran praktikal yang cukup berguna dengan mengadakan pertemuan langsung bersama industri automobil dan meningkatkan pemahaman mereka tentang konsep teori yang diajar di dalam bilik darjah.
Semasa lawatan itu, Penyelia Kilang di GHK Auto Assembly, Awang Muhammad Rifdini bin Gani turut menyampaikan taklimat kepada pelajar secara berperingkat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Para pelajar juga berpeluang untuk melibatkan diri dengan profesional industri, jurutera dan juruteknik yang berpengalaman.
Di samping itu, interaksi semasa sesi lawatan tersebut menyediakan platform untuk rangkaian, membolehkan pelajar bertanya soalan, mendapatkan nasihat dan meneroka peluang kerjaya yang berpotensi dalam bidang industri automobil.
Salah seorang pelajar yang ditemui, Awang Muhammad Hadi Mus’liyadi bin Hasmadi berkata bahawa dengan adanya lawatan berkenaan mereka dapat melihat sendiri dengan lebih dekat dan seterusnya belajar tentang proses yang dikendalikan di GHK Auto Assembly yang sangat dekat dengan apa yang mereka pelajari di IBTE.
“Antara yang kami dapat pelajari semasa mengadakan lawatan pendidikan pada hari ini termasuklah bagaimana cara pembikinan trak makanan dari mula hingga ia siap direka dan bagaimana cara mengendalikan proses pembaikan kenderaan yang mengalami kerosakan dan seumpamanya,” jelasnya.


