Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 20 OKT – Seramai 67 orang pelajar Tahun 6 dari Sekolah Menengah Chung Hua Belait dan Sekolah St James menimba pengetahuan mengenai pelbagai tradisi dan budaya dari seluruh negara semasa program Kenali Warisan Kitani, hari ini.
Program selama dua hari anjuran Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti perpustakaan berkenaan untuk pelajar Tahun 6 yang baru sahaja tamat menduduki peperiksaan.
Ia bertujuan untuk mendidik pelajar untuk memanfaatkan masa dengan belajar lebih banyak tentang tradisi dan budaya di negara ini.
Pelbagai permainan dan aktiviti diadakan untuk menarik para pelajar agar mengambil bahagian, yang dibahagikan kepada tujuh seksyen.
Ketua Perpustakaan DBP Kampung Pandan, Dayang Zaiton binti Haji Nappy menjelaskan bahawa setiap bahagian menampilkan aspek unik budaya dan tradisi di negara ini, yang mana ia bertujuan untuk menggalakkan para pelajar untuk mengambil bahagian dan meneroka melalui pengalaman secara langsung.








“Ini termasuk permainan tradi-sional seperti congkak, tilu tilan dan talang gatah. Manakala aktiviti lain yang diadakan termasuk kenali kuih kitani, kuiz alam muzik tradisi dan kuiz bahasa Brunei,” tambahnya.
Selain itu, salah satu tarikan semasa program tersebut ialah bengkel menjalin kelupis, di mana para pelajar dan guru belajar bagaimana untuk membuat kuih tradisional tersebut.
Pihak perpustakaan berharap dengan adanya program berkenaan akan dapat memberikan pelajar pengetahuan berguna mengenai warisan mereka, selain memberi inspirasi kepada mereka untuk belajar lebih banyak tentang tradisi dan budaya negara ini.
“Kami berharap para pelajar akan mengambil inspirasi tentang apa yang telah dipelajari dan menggunakan inspirasi itu untuk belajar lebih banyak tentang tradisi, budaya dan warisan kita,” kata Dayang Zaiton.
Program itu akan diteruskan esok, yang mana akan mengalu-alukan kira-kira 160 pelajar dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sekolah Tunas Jaya PGGMB dan Sekolah Pengiran Setia Jaya (PSJ) Pengiran Abdul Momin.

