Tuesday, November 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timba pengetahuan, pengalaman tentang kemahiran asas kayak

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Pusat Belia Bandar Seri Begawan di bawah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Persatuan Kayak Kebangsaan Brunei Darussalam telah mengadakan Klinik Asas Kemahiran Kayak bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, 2024, bertempat di Kolam Renang, Pusat Belia, di ibu negara, hari ini.

    Klinik asas yang disertai oleh lebih 15 orang belia tempatan dalam lingkungan usia 18 tahun hingga 35 tahun itu telah memberi mereka peluang menimba pengetahuan dan pengalaman mengenai kemahiran asas menggunakan kayak dan kanu meliputi teknik kayuhan dan etika keselamatan yang betul.

    Antara yang mengetuai klinik asas berkenaan ialah Penyelaras Program Klinik Asas Kemahiran Kayak, Awang Aznin bin Haji Tahir; dan Setiausaha Agung Persatuan Kayak Kebangsaan Brunei Darussalam, Mejar (B) Mohd Talip bin Haji Mohd Tahir, di samping pegawai dan kakitangan pihak penganjur tersebut.

    Klinik asas yang dilaksanakan selama sehari bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari itu sememangnya bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa di Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12, 2017 yang antaranya menegaskan belia berkualiti, di samping diukur dari sudut pengisiannya juga ditentukan oleh sikapnya, belia yang bersikap suka memajukan diri, itulah tanda belia yang berbakat besar yang pada lazimnya sangat aktif dan kreatif.

    Menurut Awang Aznin, seperti lazimnya berkayak juga merupakan salah satu aktiviti ke arah memajukan diri para belia sama ada ia untuk beriadah mahupun sukan berprestasi tinggi.

    “Seperti lazimnya, riadah berkayak dibuat di perairan Sungai Brunei atau Sungai Damuan tetapi setelah memikirkan keselamatan sebagai keutamaan asas berkayak itu maka ia dilaksanakan di Kolam Renang Pusat Belia Bandar Seri Begawan sahaja,” ujarnya yang turut berharap agar suatu hari nanti akan dapat menyaksikan lagi ekspedisi kayak di perairan negara sepertimana yang pernah dirasai pada era 90an dan awal tahun 2000.

    ATAS & BAWAH : Para peserta semasa mengikuti klinik asas tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda