Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud bersama isteri, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar, hari ini, telah menerima kunjungan daripada Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman dan isteri, Sadiah Shahal berserta rombongan.
Turut menyertai rombongan itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga & Kementerian Pendidikan, Prof Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim berserta Isteri, Hayati binti Haron dan Datuk Bandar CDC Timur Laut, Desmond Choo. Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Lim Hong Huai.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 1438H/2017M di kediaman Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama di Kampung Sungai Hanching, Jalan Muara, petang tadi itu telah dimeriahkan dengan pelbagai hidangan. Turut hadir ialah duta-duta asing ke Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli kor diplomatik dan para jemputan khas lainnya.
