Thursday, April 17, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timbalan menteri luar Indonesia mulakan lawatan kerja ke Malaysia

    PUTRAJAYA, 8 APRIL – Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arif Havas Oegroseno, memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia mulai hari ini, dengan dua hari di Sabah diikuti sehari di Kuala Lumpur.

    Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata lawatan ini merupakan peluang untuk meneroka kerjasama bagi kepentingan bersama serta mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

    Ia juga menjadi wadah untuk menangani cabaran bersama dan memperkukuh hubungan dua hala secara lebih strategik dan berpandangan jauh.

    Semasa lawatan kerja di Sabah, Arif Havas dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Noor, dan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah Datuk Yahya Sulaiman, menurut kenyataan itu.

    Di Kuala Lumpur, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala mencatatkan RM116.29 bilion (AS$25.5 bilion), meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) pada 2023.

    Indonesia adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan negara anggota ASEAN, menurut kenyataan itu. – Bernama

    Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arif Havas Oegroseno. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda