DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 3 NOV – Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin selaku ahli tetap Akademi Fiqah Islam Antarabangsa dan wakil Negara Brunei Darussalam telah bertolak ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, hari ini, bagi menghadiri Persidangan Majlis Akademi Fiqah Islam Antarabangsa (IIFA) kali ke-24.
Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Pemangku Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti.
Menurut kenyataan yang diterima, persidangan tahunan tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga hari dengan Dubai menjadi tuan rumah persidangan kali kedua sejak penubuhan IIFA. Kali pertama adalah pada tahun 2005 ketika persidangan IIFA kali ke-16.
Ditubuhkan pada tahun 1981 sebagai inisiatif Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), IIFA adalah sebuah akademi untuk kajian lanjutan Islam yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi. Selain ilmu-ilmu Islam tradisional, IIFA juga berusaha mendalami pengetahuan dalam bidang budaya, sains, dan ekonomi.
