BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin selaku ahli tetap Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dan wakil Negara Brunei Darussalam hari ini bertolak ke Doha, Qatar bagi menghadiri Persidangan Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) kali ke-26.
Turut mendampingi beliau ke persidangan tersebut ialah Ketua Istinbat, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti selaku Pemerhati Tetap dan Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Khairul Anwar bin Haji Muhammad.
Persidangan tersebut dijadualkan berlangsung enam hari bermula 3 sehingga 8 Mei. Edisi kali ini akan menjadi peluang berharga sebagai platform bertukar-tukar pendapat secara ilmiah, meneliti cabaran perundangan kontemporari, dan menawarkan penyelesaian praktikal berdasarkan prinsip Islam.
IIFA ditubuhkan pada Januari 1981 sebagai satu inisiatif dan badan subsidiari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ia merupakan sebuah akademi untuk kajian lanjutan Islam yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi.
Ahli-ahlinya adalah terdiri daripada kalangan fuqaha, ulama dan cendekiawan Islam terkemuka yang pakar dalam bidang ilmu perundangan, budaya, saintifik dan ekonomi dari negara-negara anggota OIC.
IIFA juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan dan mengharmonikan perundangan Islam di kalangan mazhab yang berbeza, mencari penyelesaian perundangan untuk isu-isu baharu secara bersama, dan dianggap sebagai salah satu platform paling penting untuk berdialog dan berinteraksi secara ilmiah di kalangan sarjana Islam.
