Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timbalan PM Singapura tandatangani nota takziah Tun Abdullah

    SINGAPURA, 16 APRIL – Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong, hari ini menandatangani nota takziah bagi bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

    Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, adalah antara beberapa pemimpin Singapura dan luar negara yang meluangkan masa untuk menulis pesanan ikhlas mengenang perdana menteri kelima Malaysia itu, yang meninggal dunia pada Isnin.

    Antara yang turut memberi penghormatan ialah bekas perdana menteri Singapura, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong; bekas timbalan perdana menteri dan menteri luar Prof S Jayakumar; bekas timbalan perdana menteri Wong Kan Seng; serta Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar asing yang berkhidmat di republik itu.

    Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata para pemimpin berkenaan – sebahagiannya mempunyai kenangan manis bersama Abdullah – menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-Singapura.

    “TPM Gan menyatakan bahawa Tun memainkan peranan besar dalam hubungan Malaysia-Singapura.

    “Profesor Jayakumar pula berkongsi pengalaman berurusan dengan Tun ketika mereka sama-sama menjadi menteri luar.

    “Beliau berkata Tun seorang yang lemah lembut dan diplomatik, yang membantu memudahkan perbincangan serta penyelesaian pelbagai isu tertunggak antara Malaysia dan Singapura,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pesuruhjaya Tinggi hari ini. – Bernama

    Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda