Saturday, December 21, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timbalan Premier Sarawak kunjungi PJSC

    Oleh Nurdiyanah R. & Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Tuan Yang Terutama Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, kelmarin telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).

    Hadir menerima kunjungan hormat berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC dan JPMC; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Ahli Lembaga PJSC, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar; dan Pengarah Perubatan PJSC dan JPMC, Dr Meera Sahib Kabeer.

    Tujuan lawatan tersebut adalah untuk bertukar pandangan mengenai penjagaan kesihatan dan rawatan sambil memperkukuh hubungan dua hala antara kedua pihak.

    Kunjungan hormat itu juga menekankan kepentingan pertukaran amalan terbaik dalam perkhidmatan perubatan khusus, menangani cabaran kesihatan awam yang dikongsi, dan mempromosikan inovasi dalam penjagaan kesihatan di rantau ini.

    Ia juga berfungsi sebagai platform yang berharga untuk mengukuhkan hubungan sedia ada antara Brunei Darussalam dan Sarawak dalam bidang penjagaan kesihatan.

    Delegasi telah dibawa melawat ke fasiliti PJSC yang canggih yang terletak di Pusat Kanser Brunei (TBCC) dan Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC), termasuk Jabatan Perubatan Nuklear, Jabatan Radioterapi, Unit Rawatan Harian, Jabatan Prostetik dan Ortotik, Bilik Terapi Robotik, Gim Seaview, dan Terapi Hydropool.

    Semasa lawatan, TYT Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian menyatakan kekagumannya terhadap komitmen negara untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.

    Turut hadir ialah pengarah dan pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan, PJSC, dan JPMC.

    TYT Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian semasa mendengarkan penerangan mengenai kemudahan-kemudahan bagi perubatan kanser terkini di TBCC. – GAMBAR SERAHAN PJSC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda