Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Timbalan Presiden Mahkamah Besar United Kingdom (UK), Right Honourable Lord Patrick Hodge mengadakan kunjungan ke Negara Brunei Darussalam dengan sokongan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam pada 24 Februari hingga 1 Mac.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan lawatan Lord Hodge menegaskan semula hubungan yang mendalam dan berkekalan antara UK dan Brunei, khususnya dalam sektor perundangan, pertahanan dan perniagaan.
Penglibatan beliau akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama kehakiman, memupuk pendidikan undang-undang serta membincangkan rangka kerja undang-undang serantau dan antarabangsa.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie menyatakan kunjungan Lord Hodge membuktikan kerjasama kukuh antara UK dan Brunei.
Sebagai seorang tokoh terbilang dalam badan kehakiman UK, tambahnya lagi, penglibatan beliau bukan sahaja akan mengukuhkan kerjasama undang-undang tetapi juga menyediakan peluang berharga untuk pertukaran pengetahuan antara profesional undang-undang, pelajar dan pemimpin perniagaan.
“Lawatan ini menyerlahkan komitmen berterusan UK untuk menyokong Brunei dalam bidang pendidikan, kerjasama perundangan dan kehakiman serta mengekalkan kedaulatan undang-undang.”
