Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timbalan-timbalan menteri angkat sumpah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi Timbalan-timbalan Menteri yang baharu Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

    Turut berangkat ke majlis yang dilangsungkan di hadapan majlis Baginda Sultan di Istana Nurul Iman tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Surat Perintah Lantikan dibacakan oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

    Mula-mula mengangkat sumpah ialah Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan kemudiannya disusuli oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan.

    Juga hadir di ialah Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Ghafar dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamed.

    Dr Haji Abdul Manaf dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 20 September 2018 manakala Haji Marzuke bin Haji Mohsin dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan pada 10 Ogos 2018.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi Timbalan-timbalan Menteri yang baharu.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan surat perintah lantikan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Baginda Sultan berkenan menguniakan surat perintah lantikan kepada Timbalan Menteri Pembangunan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    Haji Marzuke (bawah) dan Dr Haji Abdul Manaf (atas) semasa mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri baharu di hadapan majlis KDYMM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda