Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timor-Leste alu-alukan usahawan Brunei teroka peluang perniagaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Timor-Leste mempunyai salah satu ekonomi yang paling pesat membangun di rantau Asia dan terdapat pelbagai peluang kerjasama yang mampu diterokai oleh pelabur-pelabur dan usahawan dari Negara Brunei Darussalam.
     
    Dalam hubungan itu, Timor-Leste amat mengalu-alukan pelabur dan usahawan Brunei untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan yang terdapat di negara berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, latihan, perubatan, pelancongan dan pembangunan infratsruktur.
     
    Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr Jose Ramos-Horta semasa acara Timor-Leste Presidential Business Engagement yang berlangsung di Berkshire Hall, Royal Brunei Jerudong Polo Club, hari ini.
     
    Turut hadir semasa sesi pertemuan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Wan Hadfi Lutfan bin Haji Abdul Latif, pegawai-pegawai kanan dari Brunei, ahli-ahli perniagaan dan dewan perniagaan di negara ini serta jemputan khas.
     
    Sesi dialog semasa pertemuan berkenaan telah dikendalikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei Darussalam, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii yang mengemukakan pelbagai persoalan mengenai pembangunan Timor-Leste serta peluang-peluang pelaburan langsung asing.  
     
    Semasa pertemuan itu, TYT Dr Jose Ramos-Horta turut mempelawa usaha ke arah pembangunan sumber manusia dalam pelbagai bidang dan kemahiran yang setentunya akan membantu mengembangkan pembangunan negara berkenaan.Ke arah itu, beliau amat mengalu-alukan para pelabur untuk melabur dalam sektor-sektor pembangunan yang diberikan keutamaan iaitu pelancongan, pertanian dan perikanan, pembuatan ringan, perlombongan, minyak dan gas serta pembangunan infrastruktur strategik.
     
    Dalam pertemuan berkenaan, beliau juga menyatakan lima perkara utama yang menarik bagi pelabur-pelabur ke Timor-Leste iaitu ekonomi muda yang pesat membangun dengan kestabilan monetari, insentif-insentif pelaburan yang menarik, platform eksport, gaji yang kompetitif dengan sumber tenaga kerja yang muda serta keadaan negara yang aman dan demokratik.
     
    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, TYT Abel Guterres menyatakan bahawa pertemuan itu merupakan sesi berinteraksi yang memberikan peluang kepada para jemputan untuk bukan sahaja mengenali dengan lebih mendalam mengenai Timor-Leste tetapi juga peluang-peluang pelaburan langsung asing dan perniagaan yang ditawarkan oleh negara berkenaan.
     
    TYT Abel Guterres menyampaikan kata alu-aluannya semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    TYT Dr Jose Ramos-Horta memberikan penerangan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda