BANGKOK, 11 SEPT – Satu operasi penipuan panggilan dan rangkaian syarikat mencurigakan yang mempunyai kaitan dengan zon perdagangan bebas baharu di Timor-Leste telah ditemui, menurut laporan yang diterbitkan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), hari ini.
Laporan itu dikeluarkan ketika pusat-pusat penipuan semakin berleluasa di Asia Tenggara dan kini merebak ke seluruh dunia, sekali gus menonjolkan keupayaan sindiket jenayah berpindah lokasi apabila sesetengah kerajaan rantau ini melaksanakan tindakan keras.
Pusat-pusat penipuan tersebut, biasanya berupa kawasan berpagar di lokasi terpencil yang menjalankan penipuan berasaskan komputer, dianggarkan menyebabkan kerugian puluhan bilion dolar setahun kepada mangsa, dan semakin berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di Asia Tenggara.
Pusat penipuan di Laos, Myanmar dan Kemboja telah menarik perhatian global kerana mengendalikan penipuan cinta (romance scam), di mana pekerja menyamar sebagai wanita muda menarik untuk memperdayakan mangsa membuat pelaburan palsu. Pusat-pusat sebegini juga ditemui di Filipina dan Laos, malah UNODC memberi amaran pada April lalu bahawa ia kini muncul di Amerika Latin dan Afrika.
Di Timor-Leste, polis menyerbu sebuah pusat penipuan yang disyaki di Wilayah Pentadbiran Khas Oecusse pada akhir Ogos, dan menahan lebih 30 warga asing kerana bekerja tanpa kebenaran. Mereka yang ditahan berasal dari Indonesia, Malaysia dan China, namun laporan UNODC menyatakan tidak jelas sama ada mereka telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Oecusse ialah sebuah eksklaf Timor-Leste yang terletak di bahagian pulau milik Indonesia, dan pemerintah wilayah itu membuka zon perdagangan bebas dinamakan Pusat Digital Oecusse pada Disember 2024. – AP


