Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Timor-Leste sertai ASEAN secara rasmi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV- Majlis Resepsi sempena Kemasukan Rasmi Timor-Leste ke ASEAN telah diadakan di Musyawarah Hall, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis resepsi itu, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, dan isteri, Pengiran Datin Hajah Salwana binti Pengiran Haji Ibrahim.

    Turut hadir mewakili Pengerusi ASEAN, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, dan isteri Datin Zaeidah Mohamed Esa; Pehin-pehin, Dato-Dato, Datin-Datin, Duta-Duta dan Pesuruhjaya Tinggi negara-negara ASEAN serta rakan dialog, setiausaha tetap, pegawai kerajaan dan para jemputan.

    Di majlis itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres dalam ucapannya menyatakan rasa bangga, rendah hati dan penuh kesyukuran atas kejayaan bersejarah yang menyaksikan Timor-Leste diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN.

    Menurut beliau, pencapaian ini bukan sekadar satu formaliti, tetapi mencerminkan komitmen mendalam negaranya terhadap kerjasama serantau dalam bidang keamanan, keselamatan dan pembangunan ekonomi iaitu satu impian penyatuan serantau yang telah bermula lebih 50 tahun lalu pada tahun 1974.

    Beliau merakamkan penghargaan tulus kepada semua negara anggota ASEAN atas sokongan dan galakan yang diberikan sepanjang perjalanan menuju keahlian penuh, serta menzahirkan terima kasih ke Malaysia selaku Pengerusi ASEAN atas kepimpinan dan usaha tambahan dalam merealisasikan keanggotaan tersebut.

    Selain turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan padu sejak awal proses permohonan, serta kepada Sekretariat ASEAN atas kerja keras dan bantuan berterusan di sebalik tabir.

    Beliau menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk terus menjunjung prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN serta memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di rantau ini.

    Logo rasmi kemasukan bertema Together We Rise, jelas beliau, mencerminkan perjalanan dan semangat Timor-Leste yang dibina atas perpaduan, kerjasama dan tujuan bersama dengan negara-negara jiran.

    Sementara itu, dalam ucapan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, turut menyatakan rasa sukacita dapat bersama meraikan pencapaian bersejarah tersebut, yang menandakan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.

    Selain turut menzahirkan bahawa tahun 2025 amat bermakna bagi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, dengan usaha membawa rantau ini ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan sejajar dengan tema ‘Inclusivity and Sustainability’.

    “Sepanjang tempoh Pengerusian Malaysia, sejumlah 14 sidang kemuncak telah diadakan dengan 80 dokumen hasil perbincangan berjaya disahkan dan lebih 20 pemimpin dunia menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan pada akhir Oktober lalu,” katanya.

    Pencapaian ini bukan hasil usaha satu negara semata-mata, tegasnya, tetapi merupakan kejayaan kolektif yang mencerminkan perpaduan dan kekuatan ASEAN.

    Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan kukuh daripada negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog.

    Antara hasil penting Sidang Kemuncak berkenaan termasuk penandatanganan Kuala Lumpur Peace Accord antara Perdana Menteri Kemboja dan Thailand; ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) yang dinaik taraf; ASEAN–China Free Trade Area 3.0 Upgrade Protocol; serta Memorandum Persefahaman antara ASEAN dan FIFA.

    Paling utama, jelas beliau, ialah penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke ASEAN pada 26 Oktober 2025 yang disempurnakan oleh para pemimpin ASEAN bersama Perdana Menteri Timor-Leste, menandakan penerimaan rasmi negara tersebut sebagai anggota baharu ASEAN selepas 14 tahun memohon keanggotaan.

    TYT Datuk Mohd Aini Atan turut menjelaskan bahawa sejak permohonan rasmi Timor-Leste pada tahun 2011, ASEAN telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memberi status pemerhati dan meluluskan Roadmap for Timor-Leste’s Full Membership pada tahun 2023 bagi membimbing proses pemenuhan kriteria keanggotaan ASEAN.

    GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Penyertaan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN dan mengukuhkan semangat kekitaan serantau. Malaysia komited untuk terus membantu memastikan proses integrasi Timor-Leste ke dalam Komuniti ASEAN berjalan lancar dan bermakna,” ujar beliau.

    Selain menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau di tengah-tengah dunia yang semakin kompleks dan mencabar, serta menaruh harapan agar diplomasi terus menjadi teras dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan global.

    Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan majlis tersebut termasuk penaja dan penyokong seperti D’Sunlit, Stratcom Global, Dykio Industrial Gas, DST, Cosmopolitan College, Sekolah Menengah Sayyidina Husain Jerudong, Reading and Literacy Association, dan banyak lagi.

    Majlis turut diserikan dengan tayangan video ucapan Perdana Menteri Timor-Leste, diikuti dengan sesi pemotongan kek, persembahan khas dan sesi bergambar bersama para tetamu jemputan.

    Terdahulu itu, dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Timor-Leste.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda