JAKARTA, 3 FEB – Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini mengalu-alukan penyertaan Timor Leste sebagai pemerhati untuk kali pertama pada mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32.
Secara simbolik Menteri Luar Timor Leste, Adaljiza Magno diperkenal dan dipanggil memasuki dewan di bangunan Sekretariat ASEAN untuk menyertai mesyuarat.
“Timor Leste seorang daripada ahli berpotensi kami,” kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada media Malaysia selepas mesyuarat ACC di sini.
Beliau berkata Timor Leste kini boleh menghadiri siri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai pemerhati sehingga keputusan rasmi dibuat secara konsensus untuk menerima negara itu menganggotai ASEAN.
Ini selaras dengan keputusan negara anggota yang dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 di Kemboja November tahun lalu.
Semasa mesyuarat, Zambry berkata Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 membentangkan keutamaan dan agendanya dengan tema ASEAN Matters: Epicentrum of Growth. – Bernama
