LONDON, 27 MAC -Minum air yang sejuk dari dalam tin sememangnya menyegarkan pada hari panas. Namun dengan kos tenaga dan pelepasan karbon yang meningkat setiap tahun, sudah tiba masanya manusia memikirkan cara menyejukkan minuman yang lebih baik dan mesra alam.
Menurut Oddity Central, Delta H Innovations, satu syarikat pemula yang berpangkalan di London telah berjaya mencipta tin aluminium boleh sejuk sendiri yang pertama di dunia.
Dengan nama komersial Cool Can, ciptaan menarik dengan reka bentuk pintar hanya memerlukan satu butang ditekan. Cool Can boleh menurunkan suhu kandungan cecairnya kepada kira-kira 6-7 darjah Celsius dan memastikannya sejuk sehingga 45 minit.
Cool Can kelihatan seperti tin minuman aluminium biasa tetapi terdapat satu butang yang besar di bahagian bawah.
Apabila butang ditekan, air dilepaskan ke ruang antara dinding aluminium berlapis dalam tin. Terdapat garam khas di dalam dinding untuk bertindak balas dengan air sekali gus menyejukkan minuman di dalamnya dengan cepat.
Menurut James Vyse, pengasas Delta H Innovations Wales, ia boleh mengambil masa sehingga 10 minit untuk minuman mencapai 6-7 darjah Celsius, bergantung pada suhu tempatan, tetapi dengan reka bentuk dua lapisan tin itu, kandungannya kekal sejuk selama kira-kira 45 minit.

Cool Can juga mempunyai tanda ikon di dinding luar yang bertukar daripada putih kepada biru apabila suhu tin turun cukup rendah untuk memberitahu pengguna bahawa minuman sudah cukup sejuk.
Walaupun Cool Can masih belum dipatenkan, Delta H Innovations mendakwa bahawa mereka sudah berbincang dengan jenama besar seperti Coca-Cola dan Red Bull untuk menyesuaikan proses penghasilan tin minuman mereka dengan memasukkan teknologi baharu ini.
Vyse percaya bahawa kos tambahan kepada pengguna akan diabaikan, terutamanya apabila Cool Can boleh membantu mengurangkan kos penyejukan dengan ketara.
Ia juga boleh dikitar semula sepenuhnya dan boleh digunakan hampir di mana-mana sahaja. Satu-satunya kelemahan pada tin itu ialah saiz 500ml hanya boleh memuatkan 70% daripada kandungan tin dengan saiz yang sama.
Masih terlalu awal untuk menyatakan Cool Can sedia memasuki pasaran, tetapi ramai orang sudah sangat teruja mengenainya dan Delta H Innovations berharap beberapa unit sedia untuk diuji di pelbagai festival muzik sepanjang musim panas. – Agensi
