Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan agresif nelayan Vietnam paksa anggota APMM lepas tembakan

    PASIR PUTEH, 17  OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot asing berkenaan.

    Ketika mengulas kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang nelayan Vietnam pada 11:30 malam tadi, Pengarah APMM Kelantan Kapten Maritim Muhd Nor Syam Asmawie Yaacob berkata nelayan asing terbabit turut membaling getah yang dibakar ke arah bot APMM bagi tujuan membakar bot pihak berkuasa.

    “Walaupun pihak APMM telah melepaskan tembakan amaran ke udara, nelayan asing terbabit enggan menyerah diri sebaliknya bertindak lebih agresif dengan merempuh bot APMM, mengakibatkan seorang anggota me-

    lepaskan tembakan ke arah bot bagi mempertahankan diri,” katanya kepada pemberita ketika membawa wakil media ke lokasi kejadian hari ini.

    Sebelum kejadian, pemantauan radar pihak berkuasa negara mengesan kedua-dua bot berkenaan yang membawa 19 nelayan  termasuk tekong menangkap ikan secara haram di perairan negara kira-kira 81 batu nautika dari muara Tok Bali pada 3:30 petang semalam.

    APMM kemudian menghantar sepasukan anggota bagi mengekori dan menahan bot nelayan asing terbabit.

    Menurutnya, selepas tembakan dilepaskan oleh pihak berkuasa, nelayan asing berkenaan menyerah diri manakala bot serta hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2 juta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim di Tok Bali untuk siasatan. – Bernama

    Pengarah Maritim Negeri Kelantan (APMM) Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob menunjukkan bot nelayan warga Vietnam yang ditunda di perairan Tok Bali, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda