Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan AS keluar TPP hanya perkukuh momentum RCEP

    KUALA LUMPUR, 26 Jan – Pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan memperkukuhkan lagi momentum untuk menjayakan pemuktamadan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata seorang pakar ekonomi.

    Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata tindakan Presiden Donald Trump menandatangani arahan eksekutif yang mengesahkan penarikan diri AS daripada TPP, juga akan merancakkan peralihan signifikan landskap dasar perdagangan di rantau Asia Pasifik.

    Pada masa sama, katanya dalam satu kenyataan hari ini, keputusan AS juga hanya mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai peneraju ekonomi di Asia Pasifik, khususnya membabitkan RCEP dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

    China juga melaksanakan inisiatif ekonomi serantaunya sendiri seperti strategi ‘Satu Jajaran, Satu Laluan’ selain berperanan penting mewujudkan institusi kewangan pembangunan baharu iaitu Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

    “Negara China berkemungkinan besar akan mengukuhkan peranan utamanya sebagai peneraju perdagangan Asia Pasifik pada masa depan menerusi beberapa inisiatif liberalisasi perdagangan pelbagai hala terutamanya RCEP dan FTAAP,” katanya.

    Malah kata Biswas, pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru pada November lepas, dua negara Amerika Selatan yang juga anggotai TPP iaitu Chile dan Peru turut menyuarakan minat untuk menyertai rundingan RCEP berkenaan.

    Ini dilakukan berikutan jangkaan TPP akan menemui jalan buntu.

    RCEP merupakan inisiatif liberalisasi perdagangan Asia Pasifik diterajui China yang turut melibatkan 10 negara anggota ASEAN selain Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan India.

    FTAAP pula membabitkan kesemua 21 negara ekonomi APEC menerusi liberalisasi perdagangan dan apabila dilaksanakan kelak, bakal menjadi zon perdagangan bebas terbesar dunia merangkumi 57 peratus ekonomi global dan hampir separuh perdagangan dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda