Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Melabur dalam Masa Depan Lautan menjadi tema utama Persidangan Kemampanan Lautan yang berlangsung hari ini di Universiti Brunei Darussalam (UBD), sebagai sebahagian daripada sambutan Minggu Lautan Brunei 2025.
Persidangan itu mengumpulkan lebih 250 peserta termasuk pegawai kerajaan, wakil diplomatik, ahli akademik, pemain industri, badan bukan kerajaan serta golongan belia untuk sehari penuh sesi perbincangan mendalam mengenai kesihatan laut, perlindungan pantai dan inovasi marin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan ucapan pembukaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, yang menekankan kepimpinan Brunei yang semakin menyerlah dalam bidang ekonomi biru dan kelestarian marin.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan tema tahun ini sangat sejajar dengan aspirasi negara dalam pembangunan marin lestari, pemeliharaan alam sekitar dan kepelbagaian ekonomi.
Beliau turut menekankan keperluan tindakan dan kerjasama segera dalam menangani cabaran global terhadap ekosistem laut, selaras dengan komitmen negara dalam Sidang Kemuncak Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOC3) di Nice, Perancis baru-baru ini.
Persidangan anjuran Poni Divers dengan kerjasama KSSUP, bersempena Brunei MYCE 2025 telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah.
Ini disusuli oleh ucaptama Dr Sol Milne iaitu pengasas bersama Aerial Recon & Recovery Initiative (ARRI), yang membentangkan tajuk Blue Tech: Innovations for a Resilient Ocean yang menyentuh peranan teknologi dron dan kecerdasan buatan dalam pemantauan marin.
Acara itu turut mendengarkan pembentangan daripada pakar termasuk Dr Ramadian Bachtiar dari Blue Planet Fund yang berkongsi tentang Teknologi Biorock, Nick LaValle dari Clean Valley CIC dengan tajuk Water Conflicts in a Changing Climate dan Kooi Chee Ho dari Marine Research Foundation yang membentangkan Pengurusan Perikanan di Malaysia.
Tiga sesi perbincangan panel interaktif juga diadakan, menggabungkan kepakaran kerajaan, akademia, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat.
Antara yang terlibat ialah pengasas bersama Tyne Solution, Aimi Ramlee; Pengarah Urusan Confer Sdn Bhd, Allen Lai dan Ketua Pengurusan Program Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Reuben Chin.
Panel turut membincangkan perlindungan habitat pantai, impak perubahan iklim, pasaran karbon biru dan kepelbagaian biodiversiti.
Antara pembentang lain ialah Dr Neil Hartstein dari ADS Environmental Services; Todd Barber dari Reef Ball Foundation; James Bali dari Sarawak Forestry Corporation; Dr Amajida Roslim dari UBD, serta wakil antarabangsa seperti Sudono Salim dari JejakIn; Aurora Tin dari Bursa Malaysia; Recheal Jane dari KK Wetlands, dan Win Sim Tan dari Verra.
Sesi akhir memberi fokus kepada Kawasan Perlindungan Marin (MPA) dan sempadan maritim, disertai oleh Dr Michelle Voyer dari ANCORS, Azizi Mahali dari Jabatan Perikanan, dan Dr Shafi Noor Islam dari UBD.
Salah satu acara kemuncak persidangan ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Poni Divers dan Clean Valley CIC dari Kanada untuk melancarkan penapis bio-alga pertama seumpamanya di Asia Tenggara serta membangunkan model ekonomi laut kitaran.
Penandatanganan tersebut disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie.
Turut hadir dalam persidangan ialah wakil-wakil diplomatik termasuk TYT Michael Hoy (Australia), TYT Catherine Pochkhanavala Cleeve (United Kingdom), TYT Profesor Dr Hamit Ersoy (Turkiye), dan TYT Abel Guterres (Timor Leste). Lebih 150 organisasi dari dalam dan luar negara turut serta, menunjukkan komitmen kukuh terhadap kelestarian laut.
Juga hadir adalah agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, KSSUP, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perubahan Iklim Brunei, JASTRe, BEDB dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan turut menghantar penyertaan. Wakil industri termasuk Brunei Shell Petroleum, Hengyi Industries, BSM, Brunei LNG, dan DST turut hadir, mencerminkan sokongan sektor swasta terhadap usaha pemuliharaan laut.
Manakala, Institusi pendidikan dan penyelidikan seperti UBD, UTB, UNISSA, IBTE dan Politeknik Brunei serta pertubuhan antarabangsa seperti ASEAN Centre for Biodiversity, Reef Ball Foundation dan ANCORS menyumbang kepada perbincangan yang bermakna. Kumpulan masyarakat dan belia seperti Beach Bunch, BruWILD, Superfish Growers dan Sabah Wetlands Conservation Society turut berkongsi pandangan mereka.
Persidangan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Pegawai Operasi Poni Divers, Anna Aziz, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan mengajak semua peserta meneruskan momentum melalui Forest to Reef Conference yang akan datang.
Sidang Kemampanan Lautan merupakan acara utama Ocean Week Brunei, sambutan tahunan konservasi laut, kelestarian dan inovasi yang diterajui Poni Divers dengan sokongan KSSUP dan rakan sekutu dalam usaha menjadikan Brunei sebagai peneraju serantau dalam tadbir urus laut yang bertanggungjawab.