Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan cerakin kaedah pengagihan subsidi

    KUALA LUMPUR, 27 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kepentingan pihak industri akan tetap diberi perhatian walaupun kerajaan akan mencerakin dan menelusuri semula kaedah pengagihan subsidi kepada subsidi bersasar.

    Beliau berkata ini bagi memastikan subsidi yang memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan pada masa ini, hanya dinikmati oleh pihak yang benar-benar layak. Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan lain dan insentif yang akan diperbaiki untuk syarikat-syarikat agar ia tidak menjadi bebanan kerana mereka biasa dengan subsidi ini.

    “Subsidi ini harus bersasar, targeted (disasarkan) seperti harga minyak, ia turut dinikmati golongan kaya, saya beri tempoh dua minggu untuk pihak majlis tindakan cerakin dan menelusuri implikasi dan berbincang dengan sektor swasta, pelabur yang berminat supaya mereka faham subsidi itu tujuannya meringankan beban rakyat miskin.

    “Tentunya golongan kaya atau industri tidak harus ambil manfaat tetapi ada kepentingan lain yang kita akan sediakan, umpamanya kemudahan lain, insentif untuk syarikat akan diperbaiki supaya ia tidak jadi satu beban kepada mereka kerana mereka biasa dengan subsidi ini,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022. Mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan itu diadakan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

    Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir pada mesyuarat bermula 11 pagi tadi ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda