Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan Djokovic cetus kontroversi

    PARIS, 30 MEI – Novak Djokovic menimbulkan kontroversi kelmarin apabila dia menulis “Kosovo adalah hati Serbia. Hentikan keganasan” pada kamera di Terbuka Perancis selepas pertempuran berlaku di utara Kosovo di tengah-tengah ketegangan etnik.

    Bintang tenis kelahiran Belgrade itu menulis mesej tersebut dalam bahasa Serbia selepas kemenangan pusingan pembukaannya ke atas Aleksandar Kovacevic di gelanggang Philippe Chatrier di Roland Garros.

    “Kosovo adalah tempat kelahiran kami, kubu kuat kami, pusat paling penting bagi negara kami. Terdapat banyak sebab mengapa saya menulis perkara itu pada kamera,” kata Djokovic, yang berusia 36, kepada media Serbia pada kejohanan itu.

    Pasukan pengaman diketuai NATO kelmarin meleraikan penunjuk perasaan Serbia yang sekali lagi bertempur dengan polis di utara Kosovo untuk menuntut penyingkiran datuk bandar Albania yang baharu dipilih, ketika ketegangan etnik memuncak di negara Balkan itu.

    Kira-kira 25 anggota tentera cedera semasa pertempuran, bersama lebih 50 penunjuk perasaan.

    Aksi Novak Djokovic semasa perlawanan pusingan pertama kejohanan tenis Terbuka Perancis di stadium Roland Garros di Paris, 29 Mei. – AP

    Penduduk Serbia di Kosovo telah memboikot pilihan raya bulan lalu di bandar-bandar utara, yang membenarkan etnik Albania mengawal majlis tempatan walaupun peratusan keluar mengundi yang kecil di bawah 3.5 peratus.

    Kerajaan Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti secara rasmi melantik datuk bandar minggu lalu, menentang gesaan untuk meredakan ketegangan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS), yang kedua-duanya telah memperjuangkan kemerdekaan wilayah itu daripada Serbia pada 2008.

    “Saya bukan ahli politik dan saya tidak berhasrat untuk terlibat dalam perdebatan politik, ia merupakan topik yang sangat sensitif,” katanya

    “Sudah tentu amat menyakitkan saya sebagai warga Serbia untuk melihat apa yang berlaku di Kosovo dan bagaimana rakyat kita telah dibuang dari pejabat perbandaran. Jadi, setidaknya ini yang dapat saya lakukan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda