Wednesday, November 20, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan iklim tidak seharusnya jadi sekatan perdagangan tersirat

    RIO DE JANEIRO, 19 NOV – Pemimpin G20 bersetuju bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memerangi perubahan iklim, termasuk yang bersifat unilateral, tidak seharusnya menjadi alasan untuk diskriminasi yang sewenang-wenangnya atau sekatan perdagangan antarabangsa yang tersirat, menurut kenyataan pemimpin G20, Rio de Janeiro yang dikeluarkan hari ini.

    Para pemimpin menggesa anggota untuk bekerjasama dalam mempromosikan sistem ekonomi antarabangsa yang menyokong dan bersifat terbuka, bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di semua negara, sekali gus membolehkan mereka menangani masalah perubahan iklim dengan lebih baik.

    Mereka menekankan keperluan untuk meningkatkan pembiayaan iklim awam dan swasta serta pelaburan untuk negara membangun, selain mengetengahkan keperluan mendesak untuk meningkatkan secara drastik pembiayaan iklim daripada bilion kepada trilion daripada semua sumber.

    Para pemimpin turut menyokong pelaksanaan usaha untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui tiga kali ganda secara global dan menggandakan kadar purata tahunan peningkatan kecekapan tenaga global melalui sasaran dan dasar sedia ada.

    Mereka menegaskan semula komitmen terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal serta menekankan pentingnya pengurusan hutan yang mampan dan memerangi penebangan hutan.

    Mereka juga berjanji untuk menamatkan pencemaran plastik dan mengelakkan dasar ekonomi hijau yang berdiskriminasi, selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perjanjian alam sekitar pelbagai hala, sambil mengiktiraf kepentingan menerapkan corak pengeluaran dan penggunaan yang mampan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda