Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan imigresen jejas kawalan selesema burung

    SACRAMENTO, 20 APRIL – Kebimbangan terhadap tindakan penguatkuasaan imigresen telah menghalang para pekerja asing ladang ternakan di Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan perubatan.

    Menurut laporan organisasi dasar kesihatan KFF, usaha ini sekali gus akan menjejaskan usaha bagi mencegah penularan wabak selesema burung.

    Sejak Mac 2024, sebanyak 65 kes selesema burung telah disahkan dalam kalangan pekerja di ladang ternakan.

    Bagaimanapun, pakar penyakit berjangkit percaya angka sebenar lebih tinggi susulan pengawasan yang tidak menyeluruh, lapor Xinhua.

    Petugas kesihatan mendedahkan kesukaran untuk berhubung dengan pekerja ladang akibat kebimbangan ditahan atau diusir, terutamanya selepas tindakan imigresen yang semakin agresif sejak perubahan pentadbiran Januari lalu.

    Gambar fail menunjukkan virus selesema burung A (H5N1), pada 26 Mac 2024. – AP

    Pada hujung tahun lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melancarkan kempen vaksin selesema bermusim untuk lebih 200,000 pekerja ternakan.

    Namun kadar vaksinasi merosot serta-merta selepas serbuan imigresen pada Januari, menurut petugas kesihatan.

    Anna Hill Galendez, peguam kanan di Michigan Immigrant Rights Centre, berkata operasi agresif pihak imigresen dan kastam menyebabkan pekerja ladang di Michigan tidak keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan dan vaksin.

    Menurut Galendez, “Mereka mahukan rawatan. Mahukan vaksin. Mahukan peralatan perlindungan diri. Mahukan ujian.”

    Tambahnya lagi, “Tapi mereka takut keluar rumah kerana tindakan imigresen.”

    Pakar kesihatan awam memberi amaran setiap jangkitan manusia akan memberi ruang kepada virus untuk bermutasi dan berpotensi menyebabkan pandemik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda