TUARAN, 16 JUN – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ketua jabatan yang didapati menghalang usaha kerajaan membawa masuk pelabur ke negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata terdapat keadaan ketua jabatan didapati mengenakan peraturan mereka sendiri ke atas pelabur yang berminat melabur di negeri ini, dan dengan berbuat demikian mereka telah menghantar isyarat salah kepada pelabur berkenaan, yang kemudiannya menarik balik keinginan untuk melabur di negeri ini.
“Saya perhati keadaan ini dan jika berlaku, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah dan penyampaian watikah pelantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2023/2025 di sini hari ini.
Menurutnya peranan ketua jabatan adalah untuk memudahkan pelaburan dan jika semuanya sudah berjalan lancar, tidak perlulah menyukarkan mereka kerana kerajaan negeri hari ini adalah mesra pelabur. – Bernama


