TUNIS, 10 Jan – Perdana Menteri Tunisia semalam berjanji untuk bertindak keras ke atas pembantah selepas bantahan ganas berhubung kenaikan harga menyebabkan seorang terbunuh dan menimbulkan kebimbangan terhadap kekacauan yang lebih meluas di negara yang menjadi tempat kelahiran Pemberontakan Arab.
Seorang pembantah berusia 45 tahun terbunuh semasa kekacauan yang meletus di beberapa kawasan awal minggu ini sementara berpuluh orang ditahan dan beberapa pegawai polis mengalami kecederaan. Lebih banyak pertempuran berlaku di bandar di seluruh negara malam semalam.
Pergolakan itu mengingatkan semula kepada pergerakan bantahan 2010 hingga 2011 yang membawa kepada penyingkiran Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan mencetuskan pemberontakan di seluruh dunia Arab. Ekonomi Tunisia mengalami pergelutan sejak kejadian itu.

Bantahan terkini adalah didorong oleh pertimbangan ekonomi yang berkaitan dengan belanjawan negara. Kerajaan Tunisia akan menaikkan harga minyak dan cukai ke atas kebanyakan produk dan perkhidmatan untuk mengurangkan defisit tahunan negara. Pengurangan defisit adalah antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, yang menyediakan pinjaman berjumlah AS$2.9 bilion.
Menurut laporan media Tunisia, bank, kedai dan stesen polis menjadi sasaran vandalisme dan rompakan, sementara jalan raya dihalang oleh tayar yang dibakar dan pembantah melontar bom petrol kepada polis. Tentera juga telah campur tangan di bandar bergolak Kasserine, lapor agensi berita rasmi TAP. – AP