Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan penghantaran pulang rakyat Afghanistan dikecam

    KABUL, 20 APRIL – Perdana Menteri Afghanistan kelmarin, mengecam tindakan sebelah pihak oleh Pakistan yang memaksa pulang puluhan ribu rakyat Afghanistan sejak awal April.

    Pakistan melancarkan kempen ketat untuk mengusir lebih 800,000 warga Afghanistan yang permit kediamannya dibatalkan, termasuk mereka yang lahir atau telah tinggal di Pakistan selama berdekad.

    Diplomat tertinggi Pakistan, Ishaq Dar, telah terbang ke Kabul untuk lawatan sehari dan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Taliban Afghanistan, termasuk Perdana Menteri Hasan Akhund dan Menteri Luar Amir Khan Muttaqi.

    “Daripada bekerjasama dengan Emiriah Islam dalam proses penghantaran pulang secara berperingkat, tindakan sebelah pihak oleh Pakistan hanya memburukkan keadaan dan menghalang kemajuan ke arah penyelesaian,” kata Akhund semasa pertemuan dengan Dar.

    Beliau menyeru kerajaan Pakistan supaya “memudahkan kepulangan bermaruah pelarian Afghanistan”, menurut kenyataan di platform X.

    Terdahulu, Menteri Luar Muttaqi menyatakan kebimbangan mendalam dan kekecewaan terhadap situasi dan pengusiran paksa pelarian Afghanistan di Pakistan, kata Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Zia Ahmad di X.

    Ahmad turut berkata bahawa Dar telah memberi jaminan kepada pegawai Afghanistan bahawa rakyatnya “tidak akan dilayan dengan buruk”.

    Warga Afghanistan di Pakistan melaporkan penahanan secara sewenang-wenangnya, ugutan dan gangguan oleh pihak berkuasa dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Islamabad memaklumkan hampir 85,000 orang telah pulang ke Afghanistan, dengan konvoi keluarga Afghanistan menuju ke sempadan setiap hari kerana bimbang akan diserbu, ditahan atau dipisahkan daripada ahli keluarga. – AFP

    Pelarian Afghanistan memuatkan barang-barang mereka ke atas sebuah trak ketika mereka bersiap sedia untuk dihantar pulang ke Afghanistan, di sempadan Pakistan-Afghanistan di Torkham pada 19 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda