BEIJING, 25 JAN – Sebuah video tular yang menunjukkan seorang lelaki memukul isterinya di China, dan kes dikendali oleh pihak polis, telah mencetuskan perdebatan terbaharu di media sosial negara itu mengenai bagaimana untuk menghukum pendera rumah tangga.
Minggu lalu, sebuah video keselamatan di sebuah kediaman menunjukkan seorang lelaki dari bandar barat laut Xi’an menyerang isterinya semasa bandar itu melaksanakan perintah berkurung COVID-19 melalui media sosial China.
Tindakan polis terhadap kejadian itu telah mencetuskan lebih banyak bantahan, dengan tanda pagar berkaitan video itu telah mengumpul lebih 3.6 juta tontonan.
Pada hujung minggu lalu, polis di Xi’an berkata lelaki tersebut, yang hanya dikenali sebagai Wang, telah ditahan selama lima hari dan kemudian dibebaskan tanpa sebarang dakwaan jenayah.
Di bawah undang-undang keganasan domestik yang diluluskan pada 2016, pelaku boleh dikenakan hukuman tidak lebih daripada 20 hari dalam tahanan polis. Hukuman lebih berat hanya akan dikenakan sekiranya kecederaan serius dan niat jenayah dibuktikan.
Video di Xi’an menunjukkan seorang lelaki berulang kali memukul pasangan dengan diperhatikan oleh anak mereka.
Ia kali pertama dimuat naik oleh saudara dan rakan kepada mangsa, yang kemudian tular di media rasmi China.
“Pendera keganasan domestik hanya ditahan selama lima hari dan kemudian awda bertanya mengapa wanita China tidak mahu berkahwin atau mempunyai anak?” tulis warganet di ruang komen di Weibo.
Menurut pihak polis, pertelingkahan adalah disebabkan tugasan harian rumah menjadi tegang disebabkan si isteri menggunakan ‘kata-kata kasar’.
Kenyataan menambah bahawa pegawai sejak itu ‘mengkritik dan mengajar’ wanita tersebut – langkah yang menyebabkan bantahan di media sosial.
“Tiada guna bergantung kepada undang-undang bagi melindungi keganasan domestik apabila mereka hanya mengkritik mangsa,” tulis seorang pengguna Weibo.- AFP