Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan proaktif tangani jumlah kematian lalu lintas

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Negara Brunei Darussalam berjaya mengurangkan jumlah kematian lalu lintas sebanyak 50 peratus di sepanjang dekad yang lalu iaitu di antara 2010 dan 2020.

    “Akan tetapi, sejak tahun kebelakangan ini, saya difahamkan terdapat trend peningkatan jumlah kemalangan dan juga kematian yang sangat membimbangkan dan semestinya, menjadi pendorong untuk bertindak lebih gigih dan proaktif dalam menangani keadaan tersebut.”

    Perkara itu ditekankan dalam sabda khas, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia 2025 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

    Dalam hal itu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan menggunakan hasil audit dan data bersepadu sebagai asas kukuh dalam merancang tindakan pembaikan jalan raya dan penggubalan dasar, termasuk menetapkan sasaran penarafan keselamatan minimum tiga bintang bagi jalan-jalan utama di seluruh negara.

    “Baginda turut menekankan perlunya penguatkuasaan undang-undang jalan raya dipertingkatkan melalui pendekatan yang strategik dan berkesan serta penyediaan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2026 hingga 2030 hendaklah melibatkan pelbagai aspek pihak berkepentingan secara inklusif.”

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna semasa berkenan mengurniakan sabda khas sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia 2025. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bergambar bersama peserta persembahan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Petikan titah berkenaan, sabda Yang Teramat Mulia, menjadi panduan jelas bahawa usaha ke arah keselamatan jalan raya mesti bersifat menyeluruh, berterusan dan berasaskan data.

    MKKJR adalah satu wadah penting untuk menyelaraskan tindakan bersepadu, bersistematik dan berimpak tinggi untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan.

    “Dalam hubungan ini, saya amat sukacita dan menghargai usaha MKKJR dalam menghasilkan dan melancarkan sebuah buku, Road Safety Action 2030, pada hari ini.”

    Pelancaran buku itu, juga merupakan salah satu usaha bagi menyahut inisiatif, The Second Decade of Action for Road Safety 2021 to 2030, yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dengan sasaran untuk mencegah sekurang-kurangnya 50 peratus kematian dan kecederaan akibat kemalangan lalu lintas menjelang 2030.

    Yang Teramat Mulia bersabda, “Sasaran ini telah juga diguna pakai oleh negara-negara ahli ASEAN.”

    Terdahulu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda, “Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia ini adalah satu hari yang penting bagi mengenang mereka yang telah kehilangan nyawa atau terjejas akibat kemalangan lalu lintas.

    “Ia juga memberi kesempatan bagi kita merenung kembali tentang tanggungjawab kolektif untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda