Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tindakan segera penuhi tanggungjawab Perjanjian Paris

    Oleh Syahmi Hassan –

    DUBAI, 3 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan berangkat menghadiri Sesi Pembukaan Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia dan bahagian pertama Segmen Peringkat Tinggi bagi Ketua-ketua Negara dan Kerajaan di Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP 28).

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke acara-acara tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Baginda di Al Wasl Dome dialu-alukan oleh Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemimpin Abu Dhabi, His Highness Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama Antonio Guterres.

    Baginda Sultan bersama ketua-ketua negara dan kerajaan yang lainnya kemudian beredar bagi sesi bergambar ramai sebelum menghadiri Sesi Pembukaan Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia yang berlangsung di Al Waha Theatre.

    Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Plenary Al-Hairat bagi menghadiri Segmen Peringkat Tinggi bagi Ketua-ketua Negara dan Kerajaan COP 28 di mana Baginda berkenan mengurniakan titah menekankan bahawa perubahan iklim merupakan cabaran yang paling mendesak dan mengancam kehidupan generasi ini.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Segmen Peringkat Tinggi bagi Ketua-ketua Negara dan Kerajaan COP 28. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh His Highness Sheikh Mohamed dan TYT António Guterres. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pada acara berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Oleh demikian, tindakan yang segera adalah diperlukan bagi memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Paris, yang mana hasil awal bagi laporan pertama Global Stocktake telah menunjukkan bahawa dunia terbabas daripada menghadkan peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.

    Dalam hal itu, Baginda menyeru negara-negara maju untuk menunaikan komitmen lalu serta menyediakan sumber yang mencukupi dan teknologi mampu milik kepada negara-negara membangun untuk menangani impak perubahan iklim.

    Meskipun menyumbang kepada hanya 0.017 peratus daripada pengeluaran gas rumah hijau global, Negara Brunei Darussalam kekal komited terhadap menangani perubahan iklim.

    Oleh itu, Baginda mengongsikan bahawa Brunei mengimbangkan pembangunan negara dengan perlindungan alam sekitar, sekali gus mengejar pertumbuhan ekonomi mampan.

    Baginda kemudian menyatakan bahawa negara juga aktif dalam mempelbagaikan campuran tenaga dengan mengutamakan tenaga yang dapat diperbaharui.

    Melalui kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan, termasuk sektor belia dan swasta, Brunei akan memenuhi sasaran untuk mengurangkan 20 peratus daripada pengeluaran gas rumah hijau menjelang 2030, sepertimana yang dinyatakan dalam Nationally Determined Contributions negara.

    Menyentuh mengenai tindakan iklim serantau, Baginda menekankan bahawa Brunei juga telah menerajui usaha dalam bidang tersebut dan akan menghoskan ASEAN Climate Centre for Climate Change.

    Pusat itu akan memudahcarakan peningkatan usaha mitigasi dan adaptasi dalam menangani perubahan iklim di Asia Tenggara melalui penyelidikan, analisa, pertukaran data dan cadangan dasar.

    Pada mengakhiri titah, Baginda menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam bagi semua negara anggota dan pertubuhan antarabangsa yang berminat untuk memastikan pusat serantau tersebut akan dapat memberikan sumbangan bermakna terhadap usaha-usaha global.

    Terdahulu sebelum itu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Presiden COP 28, Perwakilan Khas UAE bagi Perubahan Iklim dan Minister of Industry and Advanced Technology, Tuan Yang Terutama Dr Sultan Ahmed Al-Jaber; Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi; Presiden Perhimpunan Agung PBB, Tuan Yang Terutama Dennis Francis; dan Setiausaha Agung PBB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...