BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Orang ramai dinasihat dan diingatkan untuk sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dengan memastikan mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang dikeluarkan semasa pandemik COVID-19.
Ini termasuklah tidak menyeberangi sempadan ke ne-gara jiran secara haram melalui jalan-jalan darat seperti ‘jalan-jalan tikus’ mahupun laluan perairan seperti sungai-sungai.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, ia merujuk kepada mesej-mesej tular baru-baru ini melalui aplikasi media sosial mengenai sebahagian penduduk negara ini dilaporkan keluar dan masuk merentasi sempadan Negara Brunei Darussalam melalui ‘jalan-jalan tikus.’
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perjalanan atau aktiviti di sempadan melalui jalan-jalan yang disebutkan hendaklah memaklumkannya kepada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dengan segera.
Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang didapati ingkar atau enggan mematuhi mana-mana peraturan yang telah dikeluarkan dan dikuatkuasakan. Ke arah ini, pihak berkuasa Negara Brunei Darussalam sekali lagi menyeru kepada semua pihak agar sama-sama memikul tanggungjawab dalam menghalang penularan wabak penyakit COVID-19 di negara ini.
Semua pihak hendaklah bertanggungjawab dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
