Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan Trump jejaskan perang keganasan

    JAKARTA, 29 Jan – Tindakan keras Presiden AS Donald Trump ke atas penghijrah Islam mungkin akan menjejaskan perang global ke atas keganasan, menurut Indonesia—negara paling padat penduduk Islam dunia.

    Kementerian Luar mengatakan ‘ia amat mengesali’ arahan Trump untuk menggantung ketibaan pelarian dan mengenakan kawalan keras baru ke atas pelancong dari tujuh buah negara. Indonesia bagaimanapun tidak termasuk dalam senarai itu.

    “Meskipun dasar ini kuasa Amerika Syarikat, Indonesia amat mengesalinya kerana kami percaya ia akan menjejaskan perang global ke atas keganasan dan pengurusan pelarian secara negatif,” jurucakap kementerian, Arrmanatha Nasir memberitahu AFP.

    “Ia adalah salah untuk mengaitkan radikalisme dan keganasan dengan satu agama khusus,” kata Nasir.

    Kedutaan Jakarta di Washington sudah pun menasihatkan warganya yang tinggal di AS untuk terus berwaspada dan mempelajari mengenai hak-hak mereka daripada Kesatuan Hak Kebebasan Awam Amerika.

    Rakyat Indonesia juga dinasihatkan untuk berwaspada dengan persekitaran mereka dan menghubungi konsulat berhampiran jika sesuatu berlaku kepada mereka selepas pengharaman diumumkan.

    Sekitar 85 peratus daripada 255 juta penduduk Indonesia adalah Islam.

    Trump menandatangani satu perintah eksekutif pada Jumaat untuk menggantung ketibaan pelarian sekurang-kurangnya selama 120 hari dan mengharamkan visa selama tiga bulan bagi pelancong dari Iraq, Iran, Libya, Somalia, Syria, Yaman dan Sudan.

    Langkah itu mendapat bantahan meluas seluruh negara.

    Seorang hakim persekutuan AS semalam menyekat sebahagian daripada pengharaman imigresen sementara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda