Tinggal 1.7% sahaja lagi untuk mencapai Fasa Endemik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 4,047 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam, kelmarin, sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin kepada 401,611 iaitu 93.4 daripada jumlah penduduk negara, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Manakala, 336,671 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 78.3 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dengan yang demikian, kini negara cuma memerlukan 1.7 peratus sahaja lagi untuk mencapai 80 peratus jumlah penduduk melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 untuk beralih daripada Fasa Peralihan ke Fasa Endemik yang akan diumumkan tarikhnya nanti.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 738,282 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi dengan 474,233 pemberian, diikuti Daerah Belait sebanyak 98,239, Daerah Tutong sebanyak 85,907, dan Daerah Temburong sebanyak 79,903 jumlah pemberian.

Gambar fail orang ramai yang telah mendapatkan vaksinasi sebelum tercetusnya gelombang kedua di negara ini.