Tinggal 2% lagi M’sia capai sasaran vaksinasi

KUALA LUMPUR, 6 OKT – Tinggal kurang daripada dua peratus sahaja lagi bagi Malaysia mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW, 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa, telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam.

Setakat semalam juga, sebanyak 120,402 atau 3.8 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, kes baharu COVID-19 di negara itu telah meningkat dengan pertambahan lebih 500 kes apabila 9,380 kes direkodkan setakat tengah hari ini, berbanding 8,817 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman sosial Twitter dan Facebook memaklumkan perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,303,837.

Menurutnya Sarawak kekal sebagai negeri tertinggi dengan sebanyak 1,503 kes diikuti Kelantan (1,170), Selangor (1,116), Johor (1,105), Sabah (790), Terengganu (704), Perak (629), Pulau Pinang (623), Kedah (556), Pahang (511), Kuala Lumpur (214), Melaka (200) dan Negeri Sembilan (191).

Negeri yang merekodkan kes baharu di bawah paras 100 ialah Perlis dengan 42 kes, Putrajaya (18) dan Labuan (lapan). – Bernama

Suasana pada hari terakhir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen SPICE yang beroperasi pada 6 Oktober. PPV Mega itu secara rasminya ditutup 6 Oktober setelah beroperasi selama 66 hari dan sebanyak 2,500 dos COVID-19 vaksin sehari telah diberikan kepada para penerima. – Bernama