Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinggal lebih masa, warga asing ditahan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seorang warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut kerana kegagalan mengemukakan dokumen asal berikutan Operasi Kabat 141/2024 yang dijalankan oleh Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Bandar Seri Begawan dengan menyasarkan sebuah premis perniagaan di Mukim Gadong ‘B’.

    Pemeriksaan dijalankan ke atas dua orang individu yang mana seorang warganegara asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh dan juga di bawah Peraturan 9(4), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.

    Selain itu, JIPK turut mengongsikan satu kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 di mana seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 39 tahun, Md Gias Uddin, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan tiga kali sebatan bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh.

    Hukuman bermula pada 24 Disember 2024. Kes pendakwaan itu merupakan hasil daripada Operasi Sepadu Trick 2 kendalian Pasukan Polis Diraja Brunei, Daerah Belait.

    Ke arah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang berkaitan warganegara asing di Negara Brunei Darussalam, JIPK mengingatkan orang ramai supaya sentiasa lebih bertanggungjawab dan mematuhi Akta dan Peraturan Imigresen yang dikuatkuasakan pada masa ini. JIPK sentiasa mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).

    Pegawai penguat kuasa undang-undang semasa menjalankan pemeriksaan yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di Mukim Gadong ‘B’. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda