Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Seorang wanita warga Indonesia yang tinggal lebih masa lebih 3,000 hari di Negara Brunei Darussalam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan diperintahkan untuk membayar denda $1,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Karni, 47, menjalani hukuman penjara sembilan bulan kerana dia mengesahkan tidak mampu membayar denda berkenaan.
Defendan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman dan mengakui fakta kes yang dikemukakan oleh Pendakwa Imigresen Adi Yusra Adanan.
Sepasukan pegawai penguat kuasa imigresen menjalankan operasi di mana mereka menemui defendan dan menahannya setelah memeriksa dokumennya pada 11:01 pagi 6 Mei lalu di Joy Downtown Rest Station, Jalan McArthur di ibu negara.
Siasatan mendapati, defendan pertama kali datang ke negara ini pada September 2013 sebagai pembantu rumah yang mana pas pekerjaannya sah sehingga Disember 2014.
Sebelum dia dapat melengkapkan tempoh perkhidmatannya, defendan dilaporkan melarikan diri pada Ogos 2014 dan tidak ditemui sejak itu.
Rekod imigresen tidak menunjukkan sebarang lanjutan kepada pas defendan, dan dia juga tidak berusaha untuk menjadikannya sah.
Siasatan juga mendedahkan bahawa defendan telah menyewa tempat sendiri sambil menawarkan perkhidmatan pembersihan dan pembantu rumah secara bebas untuk menyara hidup.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa defendan merupakan seorang janda beranak lima.


