Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Dua lelaki, masing-masing warga Indonesia dan Bangladesh dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memutuskan hukuman itu terhadap Joko Sutopo, 32, yang mengaku bersalah kerana tinggal selama 180 hari di Negara Brunei Darussalam selepas tempoh pas melawat yang diberikan kepadanya mansuh pada 24 Disember 2016.
Defendan melaporkan diri ke bahagian penguatkuasaan imigresen pada 22 Jun 2017 berhubung dengan pas melawatnya yang sudah mansuh.
Siasatan mendedahkan defendan kali terakhir memasuki negara ini adalah pada 17 Disember 2016 melalui Pos Kawalan Kuala Lurah dan diberi pas melawat yang sah bagi tempoh seminggu sahaja dan tidak ada rekod pelanjutan tempoh dibuat selepas itu.
Sementara itu, Sohidul Kazi berusia 30 tahun mengaku bersalah kerana tinggal selama 299 hari selepas pas imigresennya mansuh pada 9 April 2016.
Dia dibawa ke bahagian penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh apabila defendan membuat laporan mengenai pas imigresennya.
Defendan memasuki negara ini pada 10 Februari 2014 untuk bekerja dengan syarikat pembinaan.
Pada 5 April 2016, syarikat tempatnya bekerja telah membatalkan pas kerjanya dan dia diarahkan untuk meninggalkan negara ini sebelum 8 April 2016.
Defendan, bagaimanapun, gagal untuk berbuat demikian, sebaliknya memilih untuk terus tinggal di negara ini tanpa satu sebab yang munasabah.
Kedua-dua kes didakwa oleh Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan.