Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat aspek keselamatan kebakaran – JBP

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Aspek-aspek keselamatan kebakaran yang melibatkan kebakaran kereta kini masih dalam tahap yang membimbangkan, di mana sebanyak 87 panggilan mengenai kejadian itu telah direkodkan pada tahun ini setakat 29 Disember dengan tiada yang cedera dan maut.

    Pada 2019, sebanyak 89 panggilan telah direkodkan dengan dua orang cedera dan tiada yang maut, menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan mengongsikan bahawa antara punca utama kebakaran kereta yang dikenal pasti adalah masalah mekanikal yang melibatkan kerosakan komponen mekanikal, kebocoran hos minyak atau saluran di komponen kenderaan, dan penyambungan yang longgar di samping kesalahan dan kecuaian manusia seperti kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta, membiarkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup, kebakaran disebabkan perunan yang ditinggalkan lalu melarat ke kawasan letak kereta.

    Di samping itu juga, masalah elektrik atau pendawaian dalam kereta seperti kerosakan komponen sistem elektrik dalam enjin, kerosakan bahagian pendawaian sistem, kerosakan bahagian Anti-Lock Braking System (ABS), kerosakan kotak fius di dalam enjin dan kerosakan akibat pengubahsuaian yang diselenggara sendiri tanpa ada pengetahuan mengenainya dan hentakan kuat daripada kemalangan.

    Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran atau kemalangan kereta dari berlaku.

    Antara aspek-aspek tersebut ialah menghentikan sebarang pengubahsuaian terhadap reka bentuk asal kenderaan, tidak membuat pengubahsuaian sistem pendawaian elektronik dengan sembarangan tanpa mengikut spesifikasi asal kenderaan serta kemampuan enjin berkenaan, memastikan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik, enjin dan sistem bahan api serta alat-alat mekanikal kenderaan diselenggarakan oleh mekanik yang bertauliah dengan bertujuan untuk mengesan sebelum terjadinya sebarang kerosakan atau kebocoran pada kenderaan.

    Selain itu, sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam mendapatkan alat ganti kenderaan agar ianya adalah sesuai dan selamat serta lulus untuk digunakan, jangan meninggalkan harta benda dalam kenderaan terutama sekali yang boleh menyebabkan kebakaran seperti power bank dan sebagainya.

    Apabila berada di stesen minyak, pemandu mestilah mematikan enjin kenderaan dan tidak menyalakan api atau rokok serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa sedang mengisi minyak kerana minyak kenderaan adalah bahan yang mudah terbakar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda