Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 16 Feb – Sebuah rumah ranap di tingkat atas dan sebuah berek mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran yang berlaku berasingan, masing-masing di Kampung Sungai Teraban dan Jalan Singa Menteri, petang kelmarin, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya hari ini memberitahu, mereka telah menerima panggilan tentang kejadian kebakaran di Kampung Sungai Teraban kira-kira jam 2:50 petang dan telah mengerahkan 11 orang anggota Balai Bomba Belait dan Seria bersama empat buah jentera yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Balai Wahid ke tempat kejadian.
Semasa tiba di tempat kejadian, api besar telah membakar keseluruhan tingkat atas rumah jenis dua tingkat itu yang diperbuat daripada konkrit dan beratap ‘clip log’.
Api bagaimanapun dapat dikawal dalam masa kira-kira 28 minit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Rumah berkenaan didiami oleh seorang wanita bersama tiga penghuni lain.
Manakala itu, panggilan mengenai kejadian di Jalan Singa Menteri pula telah diterima pada pukul 5:16 petang dan JBP mengerahkan 15 orang anggota bersama empat buah jentera dari Balai Bomba Belait dan Seria dengan diketuai Pemangku Pegawai Balai Abdul Wahab.
Menurut JBP, sebaik tiba di tempat kejadian, api besar didapati telah membakar bahagian atas empat unit berek tersebut yang diperbuat daripada konkrit beratapkan ‘clip log’.
Api berjaya dikawal dalam masa kira-kira 28 minit bagaimanapun anggaran kerugian masih dalam penyiasatan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran rumput yang melarat ke kawasan terbabit.
Dalam hal ini, JBP mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan membuat pembakaran secara terbuka, selain mengelakkan daripada meninggalkan perunan tanpa diawasi dan memastikan tiada bahan-bahan atau longgokkan mudah terbakar berdekatan dengan perunan. Selain itu, pihak jabatan juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematikan mana-mana peralatan elektrik semasa hendak meninggalkan rumah dan memastikan untuk menanggalkan komponen masakkan seperti kepala gas dan sebagainya sebelum meninggalkan rumah.
JBP juga mengingatkan kepada orang ramai, jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi terus pusat gerakan jabatan tersebut melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.