Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Sempena Hari Belia Kebangsaan, FHM Advertising telah mengadakan Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak yang berlangsung di kawasan letak kereta Rimba Point, baru-baru ini.
Hadir bagi penyampaian hadiah-hadiah ialah Pengiran Rokiah binti Pengiran Abdul Rahman selaku wakil Majlis Perniagaan Wanita (WBC) dan Pengarah Eksekutif FHM Advertising, Haji Mahli Hassan.
Acara berkenaan merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) FHM Advertising dan diadakan dengan kerjasama WBC Prihatin.
Ia bertepatan dengan cuti penggal persekolahan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi daya kreatif dan inovasi kanak-kanak sekolah rendah.
Antara objektifnya adalah untuk mewujudkan proses pembangunan sahsiah yang mantap dalam kalangan kanak-kanak dan memupuk minat dan mencungkil bakat mereka dalam bidang seni visual dan seni.
Selain itu, ia juga memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak mengekspresikan kebolehan diri melalui aktiviti seni dan melibatkan kanak-kanak dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti senggang yang berfaedah sepanjang cuti persekolahan ini.
