Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat dua premis musnah dijilat api

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Api marak telah membakar keseluruhan tingkat dua sebuah bangunan di kawasan Jalan Kianggeh di ibu negara awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kebakaran itu, 30 orang anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan bantuan tenaga dari Balai Bomba Beribi, Balai Bomba Sungai Kebun dan Balai Bomba Pelancaran diketuai oleh DSO Ibrahim bin Haji Omar bergegas ke tempat kebakaran pada pukul 1:47 pagi.

    Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba segera memakai alat pernafasan untuk memasuki bangunan dan bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu hos reel dan tujuh aliran menggunakan control dividing breeching.

    Bangunan berkenaan diperbuat daripada konkrit, batu bata dan beratapkan spandik dan api berjaya dikawal dalam masa 15 minit. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api jenis serbuk kering, selimut api atau alat pengesan asap, selain menyarankan kepada pemilik premis kosong atau tidak didiami supaya memainkan peranan penting bagi menjaga keselamatan aset-aset mereka supaya insiden yang tidak diingini dapat dikawal dengan teratur.

    JBP juga mengingatkan supaya sentiasa memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di dalam bangunan dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah selain menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan, memastikan untuk menutup dan mencabut kepala gas jika tidak digunakan serta menggantikan kepala gas setiap lima tahun dan hos gas setiap dua tahun mengikut piawaian pihak BSM.

    Jika berlaku sebarang insiden kecemasan bolehlah hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Api marak membakar seluruh tingkat dua sebuah bangunan di kawasan Jalan Kianggeh, malam tadi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda