Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat ekonomi, pulihara warisan alam sekitar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Walaupun usaha sedang dilaksanakan untuk memulihara dan mengekalkan biodiversiti tetapi kita perlu memahami ekosistem semula jadi bagi mengukuhkan dan melaksanakan langkah-langkah dan intervensi pemuliharaan dengan efektif.

    Negara Brunei Darussalam mengambil maklum akan inisiatif global ke arah pemuliharaan biodiversiti dengan strategi negara menekankan kepada mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan komitmen antarabangsa seperti Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi, Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Komitmen berkenaan, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, mencerminkan visi jangka panjang negara, Wawasan Brunei.

    Untuk mencapai sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik, kita harus melindungi warisan semula jadi kita bagi generasi masa hadapan sambil menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti global, tambahnya ketika berucap pada Persidangan Biodiversiti Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau berkata bahawa negara mengguna pakai prinsip Pengurusan Hutan Mampan sebagai strategi pemuliharaan utama negara di mana Brunei mengawal selia penukaran hutan, melaksanakan rancangan pengurusan yang komprehensif, menuai hasil hutan secara mampan serta memulihkan tanah hutan yang terdegradasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf diberikan penerangan semasa menyaksikan pameran pada persidangan itu. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Prinsip-prinsip berkenaan menawarkan laluan mampan bagi pemuliharaan, memastikan kedayatahanan hutan serta tetap menyediakan perkhidmatan ekosistem mustahak.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam amat beruntung di mana dalam kalangan negara ASEAN, Brunei mempunyai liputan hutan yang tertinggi dengan biodiversiti yang kaya dilindungi oleh perundangan konservatif.

    Namun begitu, ulasnya, dalam kita mengejar kepelbagaian dan pembangunan ekonomi, adalah amat penting untuk mengimbangkan integriti ekosistem kita.

    Mengulas mengenai persidangan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan, ia bermatlamat untuk menyumbang kepada usaha Brunei dalam pemuliharaan biodiversiti dan memulihkan landskap hutan.

    Hutan memainkan peranan penting dalam memulihara biodiversiti dan mengurangkan perubahan iklim.

    Selain daripada mempromosikan aktiviti ekopelancongan dan kaedah bukan ekstraktif untuk menjana pendapatan, kita juga boleh meneroka potensi-potensinya sebagai kaedah bagi meraih pendapatan seperti perdagangan karbon bagi pembangunan ekonomi.

    Melindungi ekosistem berkenaan, jelas Yang Berhormat Dato, dapat memastikan alam sekitar yang mampan dan menjana peluang bagi penghasilan pendapatan yang memberikan manfaat kepada komuniti setempat dan ekonomi negara.

    Pemuliharaan biodiversiti bukan hanya tanggungjawab pihak kerajaan tetapi ia memerlukan usaha kolektif semua dan ke arah itu, beliau menyarankan kerjasama di semua peringkat daripada komuniti setempat kepada rakan-rakan kongsi antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda