Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat gelap

    Oleh Aqilah HMS –

    Wafi, seorang juruteknik elektrik berpengalaman, menerima panggilan kerja lewat petang untuk membaiki sistem pendawaian yang bermasalah di sebuah apartmen lama yang terletak di pinggir kota. Bangunan itu kelihatan usang, berdinding kusam dan berbau lembap. Menurut laporan, penduduk di tingkat atas sering mengalami gangguan elektrik lampu berkelip, suis tak berfungsi, dan ada juga yang mendakwa bunyi aneh datang dari siling.

    Apartmen itu mempunyai 12 tingkat, tetapi lif hanya berfungsi hingga tingkat 5. Selebihnya, sesiapa yang ingin ke tingkat 6 ke atas perlu menggunakan tangga. Wafi menghela nafas panjang. Dia ditemani oleh Amir, pembantunya yang baru mula bekerja minggu lepas.

    Ketika mereka sampai ke tingkat 5, mereka berjalan menyusuri koridor sempit dan mengetuk pintu unit yang membuat aduan. Beberapa minit berlalu, tiada siapa yang membukakan pintu. Wafi mengetuk lagi, kali ini lebih kuat. Sunyi.

    Tiba-tiba, pintu unit sebelah terbuka sedikit. Seorang wanita tua muncul di celah pintu, hanya kelihatan separuh wajahnya.

    “Kamu ni juruteknik, ya?” katanya perlahan.

    Gambar Agensi

    Wafi mengangguk. “Ya, kami datang nak baiki masalah pendawaian unit atas ni. Ada gangguan katanya.”

    Wanita tua itu menggeleng cepat. “Kalau dah masuk waktu Maghrib, kami di sini takkan buka pintu. Kalau ada apa-apa pun, kami akan WhatsApp saja. Jangan naik atas sekarang, dik. Balik je esok siang.” Pintu ditutup perlahan. Klik. Dikunci semula.

    Wafi dan Amir berpandangan. Amir kelihatan resah.

    “Kita naik juga lah,” kata Wafi. “Kalau semua fikir macam tu, sampai bila pun kerja tak siap.”

    Mereka mula mendaki tangga menuju ke tingkat 6. Semakin tinggi mereka naik, semakin sunyi suasana sekeliling. Udara makin dingin, walaupun tidak berangin. Lampu koridor malap, sesekali berkelip-kelip.

    Sampai di tingkat 7, salah satu pintu unit di hujung koridor tiba-tiba terbuka sendiri, perlahan-lahan. Terdengar bunyi derit engsel. Mereka terhenti.

    Wafi melangkah perlahan ke arah pintu tersebut. Lantai di depan unit itu kelihatan berlendir, ada cecair hitam pekat mengalir keluar sedikit dari celah bawah daun pintu.

    “Eh… minyak ke ni?” Wafi bertanya sambil tunduk. Bau hanyir menusuk hidung.

    Amir, yang berdiri lebih jauh, memandang dengan wajah cemas. “Aku rasa… baik kita turun je la, Wafi.”

    Wafi mengangguk. Tanpa berkata apa-apa lagi, mereka terus berpatah balik menuruni tangga. Suasana semakin sunyi. Bunyi tapak kaki sendiri terasa bergema.

    Apabila mereka tiba di tingkat 5, lampu lif berkelip dan terus padam. Bunyi sesuatu seperti cakaran bergema dari tangga di atas. Amir mempercepat langkah.

    Wafi cuba berlagak tenang, tapi jantungnya berdegup laju.

    Mereka akhirnya tiba di tingkat bawah. Nafas tercungap-cungap. Tanpa membuang masa, mereka keluar dari bangunan itu dan berjalan pantas ke van syarikat yang diparkir di luar.

    Dalam kereta, Wafi menoleh ke arah Amir. “Minyak tu… kau rasa dari mana?”

    Amir diam seketika. “Aku pernah nampak macam tu masa ikut ayah aku dulu buat kerja di rumah lama. Benda tu bukan minyak, Wafi …”

    Wafi mengerut dahi. “Habis tu?”

    “Darah,” jawab Amir perlahan. “Darah yang dah lama. Hitam pekat. Ayah aku kata rumah yang ada benda macam tu biasanya ada sejarah…”

    Wafi tak menyahut. Malam itu, dia tak dapat tidur. Terbayang kembali pintu yang terbuka sendiri. Cecair hitam.

    Bau hanyir. Dan bisikan halus yang dia pasti sempat kedengaran sewaktu mereka menuruni tangga, tapi tak sempat difahami.

    Keesokan paginya, Wafi cuba menelefon pengurus bangunan untuk maklumat lanjut.

    Pengurus itu, seorang lelaki tua, terdiam lama apabila Wafi menyebut unit yang dimaksudkan.

    “Itu… unit 7-11, ya?” suara pengurus kedengaran perlahan. “Ya, betul. Kenapa?” tanya Wafi, hatinya berdebar.

    “Unit tu dah kosong sejak tujuh tahun lepas. Seorang lelaki dan keluarganya tinggal di situ dulu. Satu malam, jiran-jiran terbau benda busuk. Rupanya mereka semua dah mati. Polis kata kes pembunuhan, tapi pelakunya tak pernah ditangkap.”

    Wafi terkedu. “Tapi pintu tu terbuka sendiri malam tadi. Ada benda macam darah mengalir keluar.”

    Pengurus hanya menarik nafas panjang. “Ramai dah lapor benda pelik kat situ. Tapi selagi tak ada bukti, tak siapa boleh buat apa.

    “Yang berani, naik. Yang takut, lari. Saya cuma boleh nasihatkan… jangan pergi sana waktu Maghrib.”

    Wafi tak pernah kembali ke apartmen itu. Sejak malam itu, Amir pun berhenti kerja — katanya mahu cari kerja pejabat saja.

    Kadang-kadang Wafi terfikir, jika mereka tidak turun malam itu… apakah pintu itu akan terus terbuka lebih luas? Dan apa yang sebenarnya menunggu di sebalik pintu unit 7-11?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda