Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Belanjawan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dibincangkan di peringkat jawatankuasa semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20 yang bersidang bagi hari kesembilan di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Dalam pembentangan belanjawan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof mengongsikan hala tuju belanjawan kementerian yang mana termasuk sebahagian Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 yang akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur dan pemeliharaan aset kerajaan di luar negara.
Dalam menyambut ulang tahun ke-40 kemerdekaan negara, kementerian itu menjelaskan bahawa negara menekankan prinsip dasar luar yang pragmatik dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).
Negara Brunei Darussalam memperkuatkan hubungan dua hala yang aktif di peringkat serantau dan antarabangsa terutamanya di rantau ASEAN.
Pada masa yang sama, usaha akan diberikan untuk meningkatkan kapasiti pegawai diplomatik, memperkuatkan peranan pejabat perwakilan di luar negara serta memberi sokongan kepada agensi-agensi kerajaan dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.


Beberapa orang ahli MMN telah menyertai perbahasan belanjawan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri antaranya mengenai hasil perlaksanaan memorandum persefahaman (MoU) dengan negara-negara sahabat serta perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Penglibatan warga negara dalam menghadiri persidangan atau aktiviti di luar negara diketengahkan oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, penubuhan akademi latihan bagi pegawai diplomatik oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, pemindahan teknologi untuk meningkatkan kerjasama dengan negara sahabat oleh Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, meningkatkan kesedaran tentang penggunaan e-register dalam kalangan masyarakat oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee serta mengenai status sempadan dengan negara jiran dan pengawasannya oleh Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan kemudiannya menjelaskan bahawa Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bertindak sebagai fasilitator dalam perundingan MoU dengan agensi berkenaan.
Selain itu, kementeriannya juga berperanan memperkukuhkan kerjasama strategik melalui dialog strategik dengan negara-negara sahabat.
Dalam menjawab isu mengenai e-register, Kementerian Ehwal Luar Negeri aktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai keperluan pendaftaran e-register untuk rakyat Brunei yang berada di luar negara dan menggalakkan bagi pengunjung mendapatkan insurans perjalanan sebagai langkah berjaga-jaga.
Yang Berhormat Dato juga telah menjelaskan bahawa Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri menyesuaikan diri dengan keperluan semasa seperti premis kedutaan dan kebajikan kakitangan. Isu-isu seperti perbincangan sempadan darat dengan Malaysia juga diberi perhatian serius dan dibincangkan secara kerjasama bersama negara berkenaan.
Persidangan seterusnya telah meluluskan tajuk-tajuk di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri yang dijadikan sebahagian daripada Jadual bagi Rang Undang-Undang (2024) Perbekalan, 2024/2025.
Persidangan juga mendengarkan hala tuju dan perancangan belanjawan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang telah dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah di mana antaranya beliau menjelaskan bahawa kementeriannya memainkan peranan utama untuk menjadikan negara menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Usaha-usaha itu, tambahnya, sejajar dengan aspirasi dalam Pelan Strategik Kementerian untuk tahun 2021-2025, yang mana keutamaan termasuk pembangunan ekonomi, pengurusan kewangan yang efisien, kerjasama dengan pihak berkepentingan, dan penyampaian perkhidmatan cemerlang.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan terus bekerjasama dengan kementerian lain, syarikat pelaburan asing dan industri untuk memperluaskan sumber pendapatan negara serta memajukan ekonomi.
Selain itu, peruntukan dana besar telah diluluskan untuk pelbagai projek di kementerian-kementerian termasuk pembaharuan sistem digital dan pemeliharaan aset.
Antara isu yang telah dibangkitkan semasa perbahasan belanjawan Kementerian Kewangan dan Ekonomi termasuk mengenai kedudukan ekonomi dan mata wang negara dalam arena global oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, isu mengenai kawalan harga barang keperluan seharian oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, dan strategi pengembangan jenama Brunei Halal oleh Yang Berhormat Hajah Rosmawatty.

