Sunday, November 24, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat ilmu, pengalaman tentang TUDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 36 pelajar terdiri dari Tahun 9 dan 10 bersama dua guru pengawas dari Sekolah St Angela, Seria, telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Rimba, baru-baru ini.

    Lawatan tersebut merupakan aktiviti pelajar setelah selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemudahan yang terdapat di dalam TUDB daripada segi aset dan peralatan.

    Di samping itu, ia adalah untuk memberikan pelajar pengalaman agar lebih tahu, bersemangat, yakin dan sekali gus boleh menyumbang kepada pembelajaran dan pembangunan peribadi mereka.

    Acara berkenaan dimulakan dengan taklimat mengenai struktur organisasi TUDB. Acara kemudiannya diteruskan dengan aktiviti interaktif dalam kalangan pelajar mengenai pengendalian peralatan di samping berpeluang untuk mencuba pakaian seragam TUDB dan sebagainya.

    Sepanjang lawatan, pelajar telah diberikan penerangan mengenai peranan TUDB dan dapat menyaksikan pameran aset-aset yang terdapat di TUDB. Menurut salah seorang pelajar, Awang Muhd Hazim dari Tahun 10, dia berasa amat beruntung kerana dapat menyertai lawatan itu dan berpeluang mengenali jenis senjata, mencuba memakai pakaian seragam TUDB, mengenal pasti peralatan penerjunan termasuk keperluannya dan sebagainya. Baginya, lawatan tersebut amat bermakna kerana dia bercita-cita untuk menjadi salah seorang tentera kelak.

    Menerusi lawatan itu, guru pengawas sekolah, Dayang Siti Radiah, berharap pelajar terus bersemangat untuk meneruskan pembelajaran di sekolah hingga berjaya dan mengejar cita-cita yang diidamkan. Lawatan berkenaan telah diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tentera dari TUDB.

    Para pelajar bergambar ramai semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH SAINT ANGELA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda