Tingkat ilmu pengetahuan dalam pengurusan jenazah

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Seramai 40 peserta termasuk 10 belia Masjid Kampung Lambak Kiri telah menamatkan kursus pengurusan jenazah yang diadakan di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri anjuran Ar-Razaq Funeral Management.

Kursus sehari itu telah dikendalikan oleh imam masjid berkenaan, Haji Haji bin Haji Abdul Rahman bagi peserta lelaki dan Dayang Norliila binti Mohammad dari Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi peserta wanita.

Antara objektif bengkel tersebut diadakan adalah bagi memberi ilmu tentang pengurusan jenazah yang tepat dan seiring dengan syariat Islam kepada peserta serta memberi inspirasi kepada peserta untuk mengongsikan ilmu yang dipelajari nanti kepada ahli keluarga khasnya dan masyarakat amnya.

Kursus tersebut turut merangkumi adab-adab memandikan jenazah, bagaimana mengapankan jenazah dengan betul dan  cara-cara menyembahyangkan jenazah mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Kursus seterusnya akan diadakan lagi pada 28 Ogos nanti bertempat di Masjid Kampung Bunut.

Para peserta semasa mengikuti kursus pengurusan jenazah yang diadakan di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri.