Wednesday, July 16, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat industri pelancongan melalui persidangan pengakap

    KUCHING, 6 Ogos – Persekutuan Pengakap Malaysia mahu membida hak penganjuran Persidangan Pengakap Sedunia 2020 di Kuala Lumpur bukan sahaja untuk manfaat pergerakan itu malahan penganjuran berkenaan dilihat mampu menjana industri pelancongan negara.

    Ketua Pengakap Negara Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh berkata mengambil contoh kejayaan membawa Malaysia membawa Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland berpindah secara rasmi di Menara Sentral Vista, Kuala Lumpur ,sejak itu pihaknya ‘tidak menang tangan’ menganjurkan pelbagai aktiviti.

    “Saya ambil contoh apabila kita berjaya menjadikan Malaysia Ibu Pejabat WOSM, kita ‘tidak menang’ tangan sehingga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) ucapkan terima kasih kepada kita. Saya ambil contoh jika ada pengakap dari negara Arab yang datang ke Malaysia mereka datang dalam jumlah yang ramai dan mereka berbelanja besar.

    “Jika Malaysia berjaya menganjur Persidangan Pengakap Sedunia 2020 pula, sebuah negara akan membawa enam perwakilan berdaftar bersama 10-20 pemerhati itu sudah cukup baik untuk industri pelancongan negara,” katanya dalam sidang media selepas majlis Sambutan Hari Pengakap Malaysia Sedunia dan Climbathon Gunung Serapi di Taman Negara Kubah, di sini hari ini.

    Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut bersama lebih 1,500 peserta mendaki Gunung Serapi berketinggian 911 meter.

    Sebahagian daripada 1,500 peserta pengakap dan bukan pengakap yang menyertai Gunung Serapi Climbathon 2017 Pengakap Sarawak sempena Sambutan Hari Pengakap Malaysia di Taman Negara Kubah, Matang dekat sini, kelmarin. – Bernama
    Sebahagian daripada 1,500 peserta pengakap dan bukan pengakap yang menyertai Gunung Serapi Climbathon 2017 Pengakap Sarawak sempena Sambutan Hari Pengakap Malaysia di Taman Negara Kubah, Matang dekat sini, kelmarin. – Bernama

    Persekutuan Pengakap Malaysia akan melakukan bidaan secara rasmi pada Persidangan Pengakap Sedunia kali ke-41 yang bakal diadakan di Baku, Azerbaijan pada 14 hingga 18 Ogos ini.

    Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui media menyambut baik penganjuran aktiviti tersebut di Sarawak.

    “Kita sentiasa menyambut baik penganjuran aktiviti sihat seperti ini. Kita sentiasa alu-alukan dan boleh beri kerjasama sekiranya pada masa depan Sarawak dipilih untuk menjadi lokasi penganjuran aktiviti pengakap peringkat kebangsaan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej Jen (B) Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata pergerakan itu mempunyai 65,000 orang ahli di seluruh negara, namun begitu masih ramai tidak berdaftar dengan pergerakan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda