Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat inovasi digital usahawan 1K1P

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Izah Azahari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam menempuh era Revolusi Perindustrian 4.0 dengan kemajuan inovasi digital dan penghasilan Internet Kebendaan (IOT), usahawan-usahawan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) juga tidak terkecuali daripada keperluan untuk mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bentuk digital serta automasi penggunaan mesin jentera yang lebih moden.

    Oleh itu, Kursus Transformasi 1K1P telah dirangka dengan mengambil kira akan keperluan berkenaan termasuk inovasi teknologi digital dalam membantu perkembangan perniagaan dan pemasaran produk secara dalam talian dan penggunaan sistem pembayaran konsep pintar seperti BIBD Payless iaitu Quickpay dan perbankan mudah alih.

    “Ini secara tidak langsung akan dapat menyediakan usahawan-usahawan 1K1P yang lebih berkeyakinan, berpengetahuan dan berkemahiran untuk bersaing di peringkat tempatan dan rantau ASEAN,” jelas Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut dalam ucapannya pada Majlis Penutup Bengkel Transformasi 1K1P yang berlangsung di Bangunan PGGMB, di ibu negara, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; serta para pegawai KHEDN dan BIBD.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel pada Majlis Penutup Bengkel Transformasi 1K1P yang berlangsung di Bangunan PGGMB baru-baru ini.
    Awang Salminan dan Haji Mohammad Yusri bertukar-tukar dokumen selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Awang Salminan menjelaskan Kursus Transformasi 1K1P 2020 merupakan inisiatif KHEDN dengan kerjasama BIBD yang dibahagikan kepada lima fasa utama iaitu Transformasi 1K1P Bootcamp, Bengkel Transformasi 1K1P, Latihan Penambahbaikan Produk 1K1P, Produk Premium 1K1P Showcase dan Produk Premium 1K1P di pasaran.

    Kursus tersebut dihasratkan untuk menghasilkan produk-produk 1K1P yang lebih berkualiti dan berdaya maju dan mempunyai pembungkusan produk yang menarik serta memenuhi piawaian yang telah ditetapkan sebagai produk premium.

    “Para peserta kursus di Fasa II ini telah dilatih secara praktikal untuk membangunkan semula produk masing-masing termasuklah menghasilkan produk yang ditambah nilai dari segi rasa, warna dan reka bentuk mengikut permintaan semasa.

    “Penjenamaan produk yang betul dengan penggunaan pembungkusan dan label yang berkualiti diharapkan dapat mengangkat produk-produk 1K1P sedia ada ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.

    Pada majlis itu, seramai 35 orang usahawan 1K1P yang menjadi peserta bagi Fasa I – Transformasi 1K1P Bootcamp telah menerima sijil penyertaan masing-masing di mana penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan pelancaran Produk Premium 1K1P (Prototype) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Majlis juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman antara pihak KHEDN yang ditandatangani oleh Awang Salminan dan BIBD oleh Haji Mohammad Yusri disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Pehin dan Hajah Noraini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda