BELAIT, 4 FEB – Digital Brunei melakar satu lagi kejayaan dalam usaha berterusannya untuk memupuk celik digital dan kesedaran dalam kalangan warga emas di Negara Brunei Darussalam dengan menganjurkan sesi jangkauan komuniti kelimanya di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Daerah Belait, hari ini.
Majlis itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE).
Lebih 40 peserta terdiri daripada ahli PKWE, ketua kampung dan ahli majlis perundingan kampung (MPK) telah menghadiri sesi tersebut.
Turut hadir Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman.
Sesi separuh pertama bermula dengan pembentangan daripada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengenai pendaftaran semula prabayar mudah alih, diikuti oleh wakil dari tiga penyedia perkhidmatan telekomunikasi – Datastream Digital Sdn Bhd, imagine Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd di mana mereka menghuraikan lebih lanjut mengenai proses untuk mendaftar semula talian prabayar mudah alih pelanggan mereka.
Sesi separuh kedua pula menampilkan pembentangan daripada Cyber Security Brunei (CSB) yang mengetengahkan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan penyalahgunaan kecerdasan buatan untuk penipuan serta pembentangan mengenai statistik jenayah siber dan kajian kes daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Sesi berakhir dengan pembentangan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan demonstrasi aplikasi Mushaf Brunei mereka aplikasi mudah alih yang membolehkan penduduk beragama Islam mengakses Al-Quran dengan mudah menggunakan peranti mudah alih.
Sesi bermaklumat itu diharap dapat memberikan pengetahuan dan panduan praktikal untuk mengemudi landskap digital, dengan penekanan terhadap kepentingan keselamatan dalam era transformasi digital.
Digital Brunei ialah inisiatif Majlis Ekonomi Digital, yang difasilitasi oleh AITI dengan tujuan memperkasakan masyarakat melalui teknologi digital dalam usaha mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif secara digital.
Inisiatif itu juga bertujuan untuk mewujudkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang memupuk inovasi dan teknologi digital dengan meningkatkan kesedaran tentang inisiatif pendigitalan nasional.