Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kawalan kendiri, elak jenayah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Jabatan Penjara buat julung kalinya telah mengadakan acara wacana intelektual bertajuk Lemah Kawalan Kendiri dan Faktor Persekitaran Terhadap Perlakuan Jenayah bertempat di Dewan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Awang Bahrin bin Mohd Yassin; Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara, KHEDN serta BIBD.

    Seramai 200 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu dan ketua kampung, korporat dan ahli akademik telah menghadiri acara wacana yang disampaikan oleh Profesor Adjung, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr Zafari bin Zulkifli.

    Datuk Dr Zafari antaranya menyentuh tentang pengalaman beliau semasa menjalankan beberapa penyelidikan berkaitan dengan Teori Low Self Control (LSC) yang diperkenalkan oleh Gottfredson dan Hirschi pada tahun 1990, di mana beliau menemu duga 181 banduan lelaki di Penjara Kajang, Selangor dalam tempoh lapan bulan.

    Hasil daripada temu duga tersebut, Datuk Dr Zafari mengongsikan antara dapatan yang dapat dirumuskan di mana individu yang lemah kawalan kendiri cenderung terlibat dalam pelbagai jenis jenayah, seperti jenayah harta benda, kekerasan, buli, pengganas, ekstremisme, jenayah siber dan sebagainya.

    Selain itu, Datuk Dr Zafari turut mengongsikan mengenai Teori Rutin Aktiviti yang dikemukakan oleh Marcus Felson dan Lawrence E. Cohen pada tahun 1979, yang menjelaskan bahawa jenayah berlaku akibat tiga elemen utama iaitu penjenayah yang termotivasi, sasaran yang sesuai dan kurang kawalan daripada penjaga.

    Sementara itu, Awang Bahrin yang juga selaku pengerusi majlis merakamkan kesyukuran dan berharap menerusi perkongsian ilmu sedemikian, seluruh warga Jabatan Penjara akan mendapat manfaat dari segi kefahaman akan peri mustahaknya meningkatkan kawalan kendiri dalam usaha sama-sama membanteras jenayah daripada terus meningkat sekali gus mengurangkan kadar residivisme iaitu kemasukan semula pesalah ke penjara.

    Pada masa yang sama, Awang Bahrin menyeru agar semua pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama dan terus menggembleng tenaga dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ke arah mencapai masyarakat yang penuh bertanggungjawab, taat kepada undang-undang negara selain menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Melalui acara perkongsian berkenaan, diharap para peserta yang hadir dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai faktor-faktor yang mendorong kepada keterlibatan dalam jenayah dan implikasi sosial serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.

    Acara wacana berkenaan dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik KHEDN, iaitu BIBD di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat serta sumbangan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mereka.

    Datuk Dr Zafari memberi ucapan semasa acara wacana di Dewan BKISHHB. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nor Hamidah hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda